“Kita nak pergi mana ni?” Soal Alara sebaik tayar kereta Maserati GranTurismo milik Raja Adriel mulai bergolek.
“Awak ni pekak ke? Saya tanya ni, kita nak pergi mana?” Alara hilang sabar melihat Raja Adriel yang langsung tidak mengendahkan pertanyaannya.
“Apa kau panggil aku? Pekak?” Raja Adriel ulang semula.
“Ya, pekak. Kenapa? Terasa? Siapa suruh awak tak dengar saya tanya?”
“Wah... wah... wah... kau ni memang cakap tak sayang mulut, kan. Kau dah tahu kita nak pergi mana, sibuk nak banyak tanya lagi, kenapa?”
“Sebab saya tak tahulah saya tanya. Kita nak pergi mana?”
“Betul ni kau tak tahu?”
Alara menggelengkan kepala. Dah, dia memang tidak diberitahu, bagaimana dia nak tahu?
“Kalau kau nak tahu, kita nak pergi selesaikan urusan pertukaran negara kau lah. Kau mesti lupakan, aku pernah cakap sebelum kau kahwin dengan anak raja, kau yang kena campak keluar dulu,” ujar Raja Adriel dengan nada yang sengaja mengingatkan Alara akan pertengkaran lama mereka.
Gurlp! Alara menelan liur. Wajahnya yang tadi sedikit cerah kini pucat lesi, seolah-olah kehilangan warna.
“Kenapa diam? Dah bisu ke? Tadi bukan main rancak kau cakap aku bukan-bukan. Dah tak kuasa nak bertanya ke? Oh, lupa... kau mana ada kuasa. Aku yang berkuasa sekarang, kan?” Sindir Raja Adriel tajam.
Alara tidak senang duduk. Mahu sahaja dia buka pintu dan keluar dari kereta. Hatinya berdegup kencang, tidak tahan dengan kata-kata Raja Adriel yang mengungkit perihal itu. Kalau dia tahu inilah tujuannya, memang dia tidak akan melangkah keluar bersama lelaki ini.
Nasib menyebelahinya apabila Alara melihat polis trafik tidak jauh dari mereka. Peluang untuk melarikan diri sudah terbuka di depan mata. Dengan cepat, tangannya menekan butang untuk menurunkan tingkap kereta.
“Encik… encik…” panggil Alara pada polis trafik itu. Tangannya yang terhulur keluar dari tingkap kereta menggamit perhatian polis tersebut.
Raja Adriel yang fokus memandu, terkejut apabila Alara secara tiba-tiba membuka tingkap kereta dan cuba memanggil polis trafik. Tanpa berfikir panjang, dia membrek dengan kasar, hampir menghentak stereng. Matanya terbeliak melihat tindakan luar alam Alara yang jelas boleh membahayakan dirinya.
“Kau ni gila ke?!” Tempik Raja Adriel, wajahnya merah akibat marah..
Alara mengabaikan Raja Adriel sepenuhnya. Dengan penuh keberanian, dia menjerit lagi, kali ini dengan lebih kuat.
Polis trafik yang berada tidak jauh dari situ, segera berhenti di bahu jalan dan berjalan ke arah kereta mereka. Mereka menunduk hormat kepada Tengku Mahkota sebelum mengajukan soalan.
“Ada apa-apa yang patik boleh bantu, Tengku?”
“Nothing, you can go back to escort.”
Alara bagaikan tidak percaya dengan apa yang dilihat. Polis trafik yang tadinya datang untuk membantu, kini berbalik arah dan kembali semula ke motosikalnya. Cis, Military Police rupanya. Patutlah mereka mendengar kata Raja Adriel, polis yang sudah dikhaskan untuk menjaga kerabat diraja.