“Adi nak kahwin dengan Wana. Adi tak tahu nak cakap macam mana perasaan Adi sekarang ni. Kita kahwin ya Wana?” Ridwana ketap bibir.
Adiputra sudah gila. Adiputra tidak waras. Entah-entah Adiputra sedang mabuk tapi tidak pula dia menghidu bau yang kurang enak dari tubuh lelaki ini.
“Adi ! Please... Adi keluar dulu. Esok kita cakap lagi, okey.”Jemari Adiputra merayap di lengan Ridwana dan Ridwana tepis kasar.
“Wana jerit nanti.”Adiputra ketawa.
“Jeritlah. Biar mama tahu, boleh Adi terus kahwin dengan Wana.”
Lama mereka kenal, Adiputra tak pernah tunjuk minat. Yang Adiputra tahu hanya menyakitkan hatinya. Tapi entah kenapa, tiba-tiba Adiputra berubah mendadak.
Bagi Ridwana, Adiputra itu bukan lelaki baik-baik. Perempuan keliling pinggang dan hidup bebas tanpa batasan. Bagaimana dia mahu percaya setiap kata cinta yang Adiputra luahkan.
Namun, kesungguhan Aditputra akhirnya merobohkan benteng kedegilan Ridwana yang pernah kecewa kerana cinta. Entah bila masanya cinta berputik, yang pasti dia sudah pandai merindui lelaki itu.Di saat cinta berbunga, menganyam rasa kasih dan menikmati kebahagiaan yang dihulurkan Adiputra, bahtera cinta mereka dilanda badai.
Tegakah dia membiarkan sejarah silam Adiputra menghancurkan kebahagiaan mereka? Pun begitu, mampukah dia terus berdiri gagah bersama Adiputra untuk memastikan bahtera cinta mereka terus utuh hingga ke syurga?