Pertemuan bercorak teka-teki dengan Adli Hadwan mencuri perhatian Nur Zahra. Setiap perhatian dan tingkah Adli membuncah ketenangan. Di luar sedar dia jatuh cinta. Tapi, bicara ibu buat Nur Zahra sedar siapa dia dan siapa Adli.
“Kau tak layak berkawan dengan orang macam Tauke Wan tu! Keturunan perampas!” – Ibu Khadijah
Sungguh Nur Zahra tidak mengerti kenapa kasih ibu berbeza antara dia dan kakak kembarnya, Nur Fatimah.
“Aku dah buat keputusan, kau akan kahwin dengan Juhari.” – Ibu Khadijah
Berkahwin dengan lelaki tua bukan pilihannya tetapi Nur Zahra akur andai kasih ibu jadi ganjaran. Demi perhatian yang didamba sejak kecil, Nur Zahra rela mengorbankan diri.
“Abang nak Nur jadi isteri abang.” – Adli
Lelaki itu muncul sebagai penyelamat saat dia sudah jemu berfikir. Siapa yang tidak suka bila orang yang kita cinta tiba-tiba datang membawa lamaran.
“If you need me, I’ll be right here for you.” - Adli
Walau tanpa cinta tetapi Adli setia bersamanya. Setiap layanan Adli buat dia rasa sangat istimewa. Namun dia tidak lupa diri, Adli mengahwininya bukan kerana cinta tetapi kerana ingin membantunya.
“Sepatutnya Adli kahwin dengan Ima, bukan dengan kau!” – Ibu Khadijah
Biar mereka sudah berkahwin, Ibu masih percaya takdir Adli Hadwan bukan dengan Nur Zahra. Sebaliknya dengan Nur Fatimah. Jika Nur Zahra menarik diri dan satukan Adli dengan Nur Fatimah, adakah dia berpeluang mencicip kasih wanita bergelar ibu? Dan Adli sendiri, mahukah dia melepaskan Nur Zahra untuk menerima Nur Fatimah? Benarkah di hati Adli hanya ada belas kasihan untuk Nur Zahra?