Pulangnya Zafry Tan Sri Hamzah ke Malaysia kerana satu alasan, dia layak mendapatkan semua harta sebagai bayaran sebuah kasih sayang yang tak pernah dia dapat dari ayahnya.
Pun begitu, ianya tidak semudah yang dibayangkan. Syarat untuk mendapat harta tersebut mesti diambil bersama pakej seorang isteri. Calon isteri pula bukan siapa-siapa, hanya anak seorang pemandu. Dia rasa tercabar tapi diikutkan juga kehendak ayahnya. Sudahnya, Adra Afeefa yang tak bersalah menjadi mangsa satu percaturan.
“Adra kena tidur bilik yang sama dengan abang ke, atau Adra kena guna bilik lain?” - Adra
“Kau jangan nak mengada boleh? Kalau kau tidur bilik lain pun, tak adanya kau jadi anak dara balik.” - Zafry.
Tapi Zafry tak tahu, Adra tu bukan jenis yang mudah mengalah. Apa yang Zafry tak suka, itulah yang dia buat.
“Abang nak join Adra tak?” Kepala dijengul disebalik pintu bilik air. Niat hati mahu mengusik si suami. Tapi kalau Zafry bersetuju, mati lah dia!
“Tak hingin aku…” Zafry menjeling tajam. Ingat dengan buat wajah macam kangaroo comel tersepit celah pintu dia nak tergoda ke? Boleh blah la!
“Jangan lupa ambil air sembahyang tau. Kita kumpul pahala sama-sama.” Adra kenyit mata sebelum pintu bilik air ditutup rapat.
“Arghhhhh..” Mukanya ditekap pada bantal dan kuat dia menjerit. Sakit hati melihat gelagat Adra. Malam ini apa jadi sekalipun dia mahu meneruskan agenda berpeleseran dengan Nafiz. Tidak boleh tidak!
Lama-lama, Zafry tergoda juga. Namun, konflik bermula apabila Adra disahkan hamil sedangkan anak adalah perkara terakhir yang Zafry mahukan dalam hidup. Kenapa Zafry mahukan begitu dan apa akan jadi pada perkahwinan mereka selepas itu? Semuanya akan terjawab di dalam naskah ini.