Kamil yang ego. Kamil yang angkuh. Sentiasa mahu dipandang sempurna oleh orang lain untuk menutup kisah silamnya yang tidak sempurna.
Shafina yang naif, walau tahu Mr. Kamil tidak akan memandang pekerja bawahan sepertinya, tetapi hati tetap mahu memuja lelaki itu. Ahmad Kamil itu sangat sempurna di mata dan hatinya.
Dan pada hari Shafina ditugaskan untuk menggantikan tempat pembantu peribadi Kamil yang bercuti sakit, mata Kamil ternampak sesuatu pada Shafina. Sesuatu yang dia mahukan.
“Will you marry me Shafina? Marry me because of who I am, not because of my family and not because of my status.” - Kamil
Mimpi Shafina seakan menjadi nyata apabila Kamil melamarnya untuk menjadi Mrs. Kamil. Walau hati tertanya kenapa Kamil memilihnya, tetap juga Shafina berkata YA!
Tapi, rupanya bahagia itu bukan pada apa yang diimpikan. Kamil yang terlalu ego untuk mengaku cinta walau sudah bertahun mereka bergelar suami isteri buatkan Shafina rasa dirinya bukanlah wanita yang si suami mahukan. Lebih buatkan Shafina yakin, bila dia sendiri terbaca wasiat arwah Tok Daddy Kamil. Betullah, Kamil ada agenda tersendiri ketika melamarnya.
“Mungkin…kita patut berpisah.” – Shafina
Mendengar kata perpisahan, Kamil yang selama ini terlena mula tengadah. Bukannya dia tidak cinta. Tapi, sejarah lampau mengajarnya untuk keraskan hati. Cinta tidak semestinya melafazkan. Tega benar si isteri mengukur cintanya semudah itu!
“If you leave me Shafina, there won't be another Mrs.Kamil. You're the one and only Mrs. Kamil.” – Ahmad Kamil
Tapi cukupkah hanya dengan kata-kata itu saja? Selagi kata cinta tidak meniti di bibir Kamil, Shafina masih tidak dapat meyakinkan hatinya.Adakah Kamil akan memenuhi permintaan Shafina untuk berpisah? Dan apakah rahsia wasiat yang tertulis menyebabkan Shafina yakin Kamil memilihnya bukan kerana cinta?